About Me

My photo
Alor Star, Kedah Darul Aman, Malaysia
Hi! I'm Lee Guan Aik (State Assemblyman for Kota Darul Aman state constituency Retired RMAF Senior Non Commission Officer/PC-7 Aircraft Engine Instuctor 1972-1991 Birthplace: Alor Setar Qualification:Senior Cambridge/Malaysia Cert.Education. Education:Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar.

Thursday, November 27, 2008

Ucapan Saya dalam sessi Membahas Bajet 2009


Dewan Undangan Negeri pada 20 Nov. 2008

Terima Kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Speaker, Salam sejahtera & selamat pagi/petang kepada YAB Datuk Seri MB yang dikasihi, Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, Tuan-tuan, Puan-puan yang berada di dalam Dewan Yang Mulia ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas kepada YAB Datuk Seri MB yang telah membentangkan bajet 2009 yang keseluruhannya menitik beratkan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

Saya selaku wakil Kota Darulaman juga amatlah berbangga dengan tindakan YAB Datuk Seri MB yang begitu prihatin, sentitif dan telah mengambil langkah-langkah merangsangkan pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan bersedia untuk menghadapi krisis ekonomi.

Dari pengagihan peruntukan mengikut aktiviti, saya difahamkan bahawa peruntukan untuk infastruktur adalah sebanyak RM314.7 juta iaitu 73.88 peratus dan pertanian adalah sebanyak RM29 juta iaitu 6.82 peratus yang jumlahnya ialah 80.7 peratus. Ini bermakna sebahagian besar perbelanjaan negeri telah dibelanjakan atas kedua-dua sektor tersebut. Oleh yang demikian perancangan yang terperinci harus dititik beratkan.

Dalam bidang pertanian, dasar kerajaan yang membekukan tindakan pertukaran tanah pertanian ke perumahan adalah satu tindakan yang bagus demi untuk mengawal tanah pertanian yang semakin berkurangan, di sini saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri harus mengambil langkah untuk menerokai kawasan hutan simpanan dan jadikan tanah pertanian adalah tindakan yang lebih bagus dan sektor pembinaan masih dapat dijalankan. Perancangan saperti ini akan memanfaatkan kedua-dua sektor.

Dalam bidang pembinaan dan perumahan pula, pihak Kerajaan telah menaikan peratusan kuota melayu dari 30% kepada 50% atas tanah “Swaping” (dengan izin) adalah tindakan yang tidak membawa manfaat dan keuntungan kepada mana-mana pihak, mahupun Kerajaan, Pemaju atau Rakyat. Kaum minority disebaliknya, akan bertambah menghadapi masaalah membeli rumah kerana peratusan kuota yang ditetapkan semakin mengurangkan.

Selain daripada itu, rumah yang dimiliki oleh kaum Melayu tidak akan dapat dijual dengan harga pasaran kerana ia terhad kepada satu kaum sahaja dan pemintaan juga terhad kerana status tanah.

Saya mencadangkan supaya kerajaan membina rumah kos sederhana yang harganya di bawah RM150,000.00 di atas tanah kerajaan atau membina atas tanah simpanan melayu dan dibahagi dengan adil demi untuk mencapai hasrat kerajaan untuk mengurangkan polarisasi.

Jika dasar ini diteruskan, sudah tentu pemaju akan mengubah haluan ke negeri yang dasarnya lebih fleksibel (dengan izin) kerana pihak pemaju tidak mungkin akan mengambil risiko untuk menanggung faedah tinggi dari bank yang diakibatkan oleh kos peganggan rumah yang tidak dijual. Akibat dari penghijrahan pemaju, ekonomi negeri akan terjejas, begitu juga dengan bidang tindakbalas rantaian atau “chain reaction sector” yang meliputi lebih dari seratus jenis perniagaan, umpamanya: penjual bahan pembinaan, hardware dan sebagainya termasuk industri penjaja dan banyak lagi yang melibatkan semua kaum dalam negeri Kedah.

Akibat dari penetapan 50% kuota ke atas tanah swapping, dijangka tentu tidak boleh menyelesaikan masalah kaum Melayu untuk memiliki rumah.

Kita kena memandang serious, dengan izin dari segi ekonomi. Saya tidak setuju dengan tindakan Kerajaan walaupun dasar tersebut hanya melibatkan tanah swapping, sebab ini akan menjadi satu “terpaksa” bagi para pemaju supaya menggunakan wang mereka sendiri untuk membeli tanah simpanan Melayu dan melibatkan kos swapping, tanpa menerima sebarang bantuan dari kerajaan. Kerajaan Pakatan adalah Kerajaan Nikmat Untuk Semua. Ini akan menganiayakan kesemua pihak yang terlibat seperti yang saya sebut tadi.

Oleh yang demikian, saya merayu pihak kerajaan Pakatan Rakyat, dapat mengkaji semula dan membuat perbincangan dengan semua pihak yang terlibat demi untuk kemajuan negeri dan membawa keuntungan kepada rakyat jelapang padi.

Saya berharap kerajaan Pakatan Rakyat Kedah yang perihatin ini, janganlah mengambil tindakan yang kurang hikmah dari segi approach, dengan izin, untuk mengabaikan kaum minority terutama sekali yang menyokong kuat Pakatan Rakyat pada PRU ke 12 di dalam dasar % kuota Melayu yang sedang diimplimentasikan, demi Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. Fikirkan lah dengan mendalam dalamnya wahai Kerajaan Pakatan Rakyat, terutama sekali sekumpulan exco bersama Dato Seri Menteri Besar. Kita bukan nak perintah satu penggal sahaja.

Sekian lah saja, terima kasih , Yang Berhormat Speaker.