About Me

My photo
Alor Star, Kedah Darul Aman, Malaysia
Hi! I'm Lee Guan Aik (State Assemblyman for Kota Darul Aman state constituency Retired RMAF Senior Non Commission Officer/PC-7 Aircraft Engine Instuctor 1972-1991 Birthplace: Alor Setar Qualification:Senior Cambridge/Malaysia Cert.Education. Education:Sultan Abdul Hamid College, Alor Setar.

Friday, October 22, 2010

DAP mahu kerusi DUN Derga

Dari Sinar Harian-21hb. Oct.2010

ALOR SETAR - DAP bertegas akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga dengan meletakkan calonnya pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik berkata, pihaknya tetap akan bertanding di kerusi DUN itu yang dikatakan milik DAP, sebelum berpindah tangan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Awalnya kawasan Derga adalah milik DAP, tetapi pada Pilihan Raya Umum 2008, timbul kekeliruan apabila PKR turut meletakkan calonnya di situ. DAP memang kesal namun tidak sempat membuat bantahan kerana keputusan dibuat pada saat-saat akhir,” katanya.

Berikutan itu, Guan Aik merayu kepada PKR supaya memberi laluan kepada DAP untuk mewakili rakyat di kawasan berkenaan.

“Biarlah DAP letakkan calon di situ pada PRU akan datang. Kawasan itu memang milik DAP dan saya juga mahu perkara ini diputuskan segera oleh kepimpinan tertinggi parti,” katanya.

Menurutnya, pada pilihan raya umum lalu, DAP telahpun membuat persiapan rapi bagi memenangi hati pengundi namun terkilan apabila calon PKR turut bertanding di situ.

“Kita tidak boleh buat apa-apa ketika itu melainkan terpaksa menerima keputusan Pusat. Saya tidak mahu perkara sama berulang, namun saya fikirkan DAP lebih sesuai bertanding di Derga,” katanya.

Guan Aik berkata, pihaknya akan sedaya upaya mempertahankan hak mereka di situ walau dengan apa cara sekalipun, namun akan tetap akur pada keputusan Pusat kelak.

“Sekiranya rayuan kami tidak didengari, saya tidak menolak kemungkinan kita bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru sekali lagi di Derga. Jika itu yang terpaksa dibuat, saya tiada pilihan,” katanya.

Menurutnya, selagi keputusan belum diputuskan sama ada DUN Derga milik PKR atau DAP, pihaknya akan berjuang berhabis-habisan untuk memastikan kerusi itu jatuh ke tangan DAP.

“Setelah kepimpinan Pusat buat keputusan kelak, DAP akan akur dan menghormati keputusan itu. Kami tidak akan bantah keputusan tetapi mohon keputusan berpihak kepada kami,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Biro Latihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Senator Ir Zamri Yusuf berkata, meminta pemimpin Pakatan Rakyat (PR) membuat keputusan segera mengenai siapa yang akan bertanding di kerusi DUN Derga, sama ada PKR ataupun DAP.

Katanya, jika keputusan dibuat pada saat akhir, dibimbangi akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti komponen PR di negeri ini.

Pada pilihan raya umum lalu, kedua-dua calon PKR dan DAP, Cheung Khai Yan dan Teoh Teik Guan tewas kepada calon BN, Dr Cheah Soon Hai. Khai Yan mendapat 6,353 undi, Teik Guan (2,095) manakala Dr Cheah (6,516).